Home Pertahanan dan Keselamatan Tingkat keselamatan negara, kekang kemasukan PATI

Tingkat keselamatan negara, kekang kemasukan PATI

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan meningkatkan tahap keselamatan bagi menjamin kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Menurut baginda tahap keselamatan perlu dipertingkatkan terutama dalam menangani pelbagai jenayah, penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Dalam masa yang sama, Baginda turut menggesa kerajaan merangka pendekatan baru yang lebih berkesan untuk menangani masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.

“Kerajaan perlu merangka pendekatan yang komprehensif dalam menangani kemasukan PATI yang menimbulkan pelbagai masalah dari aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara,

“Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuhkan dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan PATI,” tegas Baginda.

Sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan satu petugas khas (Special Task Force) yang diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui lorong tikus.

Pasukan khas yang dianggotai oleh semua agensi beruniform secara bersepadu bekerjasama dalam menjaga sempadan negara yang merupakan sebahagian usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.- airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply