Home Semasa Solat Jumaat, Aidilfitri dibenarkan di Perak

Solat Jumaat, Aidilfitri dibenarkan di Perak

by Nurulhuda

PERAK, 14 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah memperkenankan solat Jumaat dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau di Negeri Perak bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari dalam satu kenyataan berkata baginda bertitah bahawa solat sunat Aidilfitri turut boleh diadakan di masjid dan surau pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

“Setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran,

“Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Shahrul turut menegaskan masjid dan surau masih tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran ini hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan pegawai masjid dan surau berkenaan.

“Masjid dan surau yang gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, tidak dibenarkan untuk melaksanakan Solat Jumaat dan Solat Sunat Aidilfitri,

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan terbaharu dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat melayu Perak,” tambahnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply