Home Semasa COVID-19: 40 kes baharu, 1 kematian dicatatkan

COVID-19: 40 kes baharu, 1 kematian dicatatkan

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 14 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 40 kes baharu akibat jangkitan wabak pandemik COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 31 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif wabak berkenaan dalam negara sebanyak 6,819 kes.

“Jumlah kes aktif (positif COVID-19) dengan kebolehjangkitan adalah seramai 1,356 kes,

“Sehingga hari ini juga, sebanyak 70 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,351 kes,” jelas Dr Noor Hisham pada sidang media harian hari ini.

Manakala seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 4 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan satu kematian direkodkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara sebanyak 112 kes.

“Kes kematian ke-112 (kes ke-6780) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun,

“Beliau mempunyai sejarah penyakit injap jantung, serta kemalangan pada awal tahun mengakibatkan beliau patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri,

“Pesakit disahkan meninggal dunia pada 12 Mei 2020 jam 9.52 malam di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply