Home Semasa Imigresen tangguh operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh PKP

Imigresen tangguh operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh PKP

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 22 Apr – Operasi penguatkuasaan imigresen ditangguhkan kecuali melibatkan kes-kes yang kritikal dan arahan Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata pihaknya hanya melakukan operasi ‘omnipresent’ setiap hari di lokasi titik panas yang menjadi tumpuan warga asing dan kawasan yang menerima aduan bahawa warga asing berkeliaran.

“Selain itu, pegawai imigresen turut terlibat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengumpulkan data warga asing terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Antaranya PKPD kawasan Selangor Mansion, Malayan Mansion, Masjid India di sini dan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang,” katanya kepada Bernama dalam sidang media khas hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya juga membuat dokumentasi bagi mengambil data warga asing untuk tujuan rekod serta perancangan tindakan penguatkuasaan pasca PKP.

“Terdapat juga pegawai Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Imigresen yang terlibat dengan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dalam pemeriksaan. Kami juga membantu KKM dalam menyelaraskan pergerakan warga asing untuk sesi pensampelan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata selepas PKP diumumkan berakhir, imigresen dijangka menerima kebanjiran orang ramai termasuk warga asing yang ingin berurusan di pejabat agensi itu di seluruh negara.

“Bagi mengatasi masalah ini, pihak saya akan membuat hebahan media massa dan media sosial dari semasa ke semasa mengenai pembukaan pejabat imigresen dan langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum hadir ke pejabat imigresen.

“Imigresen telah membangunkan protokol keselamatan dan kesihatan sebagai garis panduan kepada orang ramai dan pegawai-pegawai imigresen selaras dengan arahan KKM,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata orang awam, termasuk warga asing, yang ingin berurusan di kaunter imigresen dikehendaki memakai penutup hidung dan mulut serta pensanitasi tangan semasa berurusan.

Beliau berkata pegawai imigresen akan membuat saringan kesihatan di pintu masuk utama pejabat agensi itu dan menutup semua laluan alternatif kepada orang awam. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply