Home Pertahanan dan Keselamatan 9 menara tinjau dibina di kawasan PKPD Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Selayang

9 menara tinjau dibina di kawasan PKPD Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Selayang

by Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina sembilan menara tinjau di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang di sini, yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata pembinaan menara tinjau di kawasan PKPD ke-6 itu dibuat khusus untuk memantau serta mengawasi pergerakan penduduk setempat di kawasan itu.

“Ini merupakan inisiatif ATM agar anggota lebih mudah melaksanakan tugas memantau sebarang percubaan individu luar untuk masuk ke dalam kawasan PKPD,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pembinaan menara tinjau hanya dibuat di kawasan PKPD ke-6 sahaja.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing ditahan ketika cuba melarikan diri daripada kawasan Pasar Borong Selayang di sini, yang berada di bawah PKPD.

Pemandu teksi yang berada di kawasan itu mendakwa ada warga asing cuba melarikan diri dari kawasan itu sejak semalam, malah mereka dengan berani memotong kawat berduri yang dipasang untuk keluar.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, dalam status PKPD.

Ismail Sabri berkata keputusan untuk melaksanakan arahan PKPD ke-6 tersebut dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan, melibatkan lapan parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:

  1. Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  2. Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  3. Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  4. Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  5. Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  6. Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  7. Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
  8. Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak dikenakan PKPD, cuma kawasan sekitarnya sahaja dikenakan PKPD. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply