Home Semasa 224 petugas Kementerian Kesihatan positif COVID-19 

224 petugas Kementerian Kesihatan positif COVID-19 

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 11 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa terdapat 224 petugas kesihatan KKM telah dikesan positif wabak pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, tiada kes yang berpunca daripada pengendalian yang disahkan positif dari wad COVID-19 atau unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk pesakit wabak berkenaan di fasiliti KKM.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 150 kes adalah berpunca dari komuniti (termasuk daripada rakan sekerja yang disebabkan oleh jangkitan di komuniti).

“41 kes adalah mereka yang mempunyai kaitan dengan pesakit yang tidak diketahui status sebelum diberikan rawatan manakala 9 kes pula adalah daripada aktiviti saringan dan pemeriksaan di lapangan,

“Manakala 33 kes pula masih dalam siasatan,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menegaskan bahawa pelbagai tindakan diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan anggota termasuk melakukan penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti seperti pembekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sentiasa mencukupi.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham menjelaskan, terdapat 184 kes baharu direkodkan positif COVID-19 dan ia menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 4,5300 kes.

“Seramai 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 165 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 serta telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,995 kes (44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sementara itu, tiga lagi kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat jam 5 petang ini,

“Sehingga kini, seramai 69 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 40 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya.

Berikut laporan terperinci kematian akibat COVID-19 dalam negara hari ini :

  • Kes kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452). Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.05 tengah hari.
  • Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 11.15 pagi.
  • Kes kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.00 tengah hari.

Related Articles

Leave a Reply