Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Hospital tentera terima sumbangan pelindung muka keluaran penuntut UPNM

COVID-19: Hospital tentera terima sumbangan pelindung muka keluaran penuntut UPNM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Tuanku Mizan) hari ini menerima sumbangan sebanyak 150 unit pelindung muka (face shiled) dan pensanitasi tangan (hand sanitiser) daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan pusat perubatan itu.

Sumbangan telah disampaikan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, HAT Tuanku Mizan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Mohd Amin Muslan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, HAT Tuanku Mizan, Lt Jen Datuk Dr Mohd Amin berkata pihak UPNM adalah rakan kongsi yang baik kepada ATM. Foto: Azuwan/AirTimes

Dr Mohd Amin berkata pihak UPNM adalah rakan kongsi yang baik kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya pihak HAT Tuanku Mizan.

Menurutnya, HAT Tuanku Mizan juga merupakan hospital pengajar kepada penuntut perubatan UPNM dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak ini turut melibatkan bidang kajian serta pembangunan.

“Penuntut-penuntut UPNM berjaya menghasilkan hand sanitiser dan face shield dengan menggunakan mesin pencetak 3 dimensi (3D) serta barangan tempatan,

“Kejayaan ini merupakan langkah yang baik untuk terus maju ke hadapan dalam keupayaan mempunyai penghasilan pakaian pelindungan diri (PPE) sendiri,

“Seperti yang kita ketahui, kita masih bergantung kepada bekalan PPE dari luar negara, dan ini adalah satu penghasilan yang terbaik.” jelas Dr Mohd Amin kepada pemberita di perkarangan lobi HAT Tuanku Mizan.

Beliau turut berkata, pihaknya dan penuntut pegawai perubatan UPNM akan terus bekerjasama untuk melaksanakan ujian-ujian saringan kepada pesakit yang mempunyai simptom wabak COVID-19.

“Kami telah membuat lebih 200 ujian sehari, bukan hanya kepada anggota ATM sahaja tapi kepada rakyat tempatan,” jelasnya.

Dr Mohd Amin berkata, sehingga hari ini pihaknya telah menugaskan hampir 100 pegawai dan staf perubatan khusus untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak ini.

Dalam masa yang sama, Abdul Halim memaklumkan, UPNM kini juga sedang membina alat pengesan (aplikasi) untuk mengenalpasti sesorang yang mempunyai wabak COVID-19.

 

Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal berkata UPNM sentiasa komited dalam usaha untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19. Foto: Azuwan/AirTimes

“Kami baru membina alat-alat lain yang boleh dipasang pada kenderaan bagi mengawal selia penularan wabak COVID-19 ini agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,

“Setakat ini, kami mampu untuk menghasilkan sebanyak 50 unit pelindung muka dengan menggunakan mesin pencetak 3D,

“Kami turut mempelawa mana-mana pihak  serta agensi yang berminat untuk menggunakan alat yang dibina oleh kami,” tambah Abdul Halim.

Beliau berkata UPNM sentiasa komited dalam usaha untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 melalui pelbagai produk serta inovasi UPNM sendiri.

Terdahulu, UPNM turut menyerahkan pelindung muka dan pensanitasi tangan kepada Hospital Serdang dalam menyahut seruan kerajaan untuk menyumbang usaha dalam menangani penularan wabak pandemik COVID-19 ini.

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply