Home Semasa PKP: Kaedah penjualan bazar Ramadhan akan diubah

PKP: Kaedah penjualan bazar Ramadhan akan diubah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Pelaksanaan bazar Ramadhan seperti kelaziman akan dipertimbangkan mengikut nasihat dan saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan negara masih lagi dalam krisis menangani penularan wabak COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa berkata banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk cara melaksanakannya.

Beliau berkata, dalam masa sama cara penjualan juga perlu diubah bagi mengekalkan aspek kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dibendung.

“Kena pikir semua perkara, jangan terburu-buru dan kita masih ada masa lagi,

“Bazar Ramadhan dalam bentuk yang lazim kita ketahui itu memang tidak boleh dilaksanakan,

“Kalau nak buat jugak, kaedah pelaksanaanya itu  mesti dibuat tanpa melanggari kaedah-kaedah kawalan yang disarankan dari KKM,

“Saya percaya amal-amalan dalam menjaga kebersihan dan kesihatan yang disarankan KKM akan diteruskan oleh warga kota,” jelasnya kepada pemberita setelah menyaksikan Operasi Sanitasi Awam di sekitar Kampung Bharu, hari ini.

Ia turut melibatkan semburan cecair nyah kuman di kawasan tersebut dengan menggunakan dron.

Annuar menjelaskan kemungkinan bazar Ramadan pada tahun ini, dikurangkan. Sebagai contoh di tempat yang mempunyai hingga 50 gerai, mungkin hanya ada 10 gerai sahaja dan akan dijarakkan antara satu sama lain serta dibuka di banyak tempat.

“Yang pastinya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diteruskan atau tidak kita tidak akan meneruskan cara lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan

“Kita kena perbaiki kehidupan, kita jangan hanya disiplinkan diri sewaktu PKP, banyak perkara yang kita boleh belajar dan amalkan terus pada pasca PKP nanti,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac sehingga 14 April ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Related Articles

Leave a Reply