Home Semasa Dua lelaki dipenjara empat bulan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Dua lelaki dipenjara empat bulan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

by Bernama

SEREMBAN, 27 Mac – Dua lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Tertuduh M. Sivanyanam, 21, dan K. Vijay, 22, yang kedua-duanya adalah operator kilang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret Mahyun Yusof.

Bagi pertuduhan pertama yang dikemukakan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, Sivanyanam didakwa sengaja menghalang anggota polis Sarjan Mejar Rafek Che Husain daripada menjalankan tugasnya dengan tidak memberi kerjasama untuk memberhentikan motosikal apabila diarahkan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja menunggang motosikal di jalan raya tanpa lesen memandu dan manakala bagi pertuduhan ketiga, Sivanyanam didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan diri apabila diminta.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di jalan utama Taman Bandar Ekar, Rantau pada pukul 5 petang, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Majistret Mahyun menjatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh dia ditangkap manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, masing-masing penjara satu bulan dari tarikh ditangkap.

Mahkamah juga memutuskan kesemua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap.

Sementara itu, pertuduhan terhadap Vijay yang dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali kerana bersubahat membantu Sivanyanam dengan menghalang tugas Rafek di tempat dan masa yang sama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply