Home Pertahanan dan Keselamatan Kertas Putih Pertahanan jadi panduan perkasakan pertahanan negara – Ismail Sabri

Kertas Putih Pertahanan jadi panduan perkasakan pertahanan negara – Ismail Sabri

by Syahira Rahemi

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan Perikatan Nasional kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasa untuk tempoh 10 tahun akan datang seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Ismail Sabri berkata KPP yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 akan menjadi panduan utama Kementerian Pertahanan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana serta jangka panjang.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi,

“Pertahanan negara adalah satu agenda negara yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Sambutan dan Mula Tugas Menteri Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Pertahanan pada hari ini dan tiba di Wisma Pertahanan pada jam 9.30 pagi. Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Beliau seterusnya mengambil tabik hormat dan memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD). Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz tiba pada jam 9.20 pagi dan mengambil tabik hormat serta memeriksa barisan KKU 1 RAMD.

Ismail Sabri menambah, Kementerian Pertahanan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pengukuhan pertahanan secara komprehensif melalui pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat.

“Perkongsian yang berwibawa dengan negara jiran serta negara luar turut diambil kira dalam memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat terjaga,

“Di samping itu, Kementerian Pertahanan akan terus memberi perhatian kepada kebajikan veteran ATM serta warga awam yang bertugas di kementerian,

“Kebajikan merupakan salah satu elemen penting dalam tahap kesiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kementerian Pertahanan terdahulu yang telah membawa agenda pertahanan negara ke peringkat ini.

“Penghargaan ini juga kepada semua warga kementerian yang telah bertungkus lumus bagi memastikan segala tugasan berjalan dengan lanbcar dan keberhasilan yang terbaik demi kepentingan negara,” ujarnya.

Beliau juga berharap semua warga Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepadanya serta Timbalan Menteri Pertahanan dalam menguruskan pertahanan negara.

Related Articles

Leave a Reply