KUALA LUMPUR, 5 Mac – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2020 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2020 ditunda ke bulan Ogos berikutan penularan wabak Koronavirus (COVID-19).
Tarikh baharu pameran adalah pada 24 hingga 27 Ogos 2020. Sebelum ini, kedua-dua pameran dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2020.
“Keputusan sukar terpaksa diambil setelah perbincangan dan pertimbangan teliti dibuat bersama Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, dan pihak berkepentingan,
“Ini berikutan kebimbangan wabak COVID-19 yang mengakibatkan gangguan perjalanan antrabangsa dan situasi lain,” jelas pihak penganjur dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi syarikat penganjur DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin menyatakan bahawa keputusan penundaan acara ini disokong sebulat suara, walaupun hanya tinggal dua bulan dari tarikh asal pameran ini sepatutnya berlangsung.
“Keputusan menangguhkan acara ini adalah keputusan yang terbaik dan kami ingin memastikan suasana pameran yang kondusif untuk para peserta, pihak pempamer serta pelawat semasa acara berlangsung,
“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terkesan dan kami berharap walaupun dengan penangguhan ini, DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 akan terus menjadi platform penting untuk menggalakkan pertukaran dan perkongsian teknologi antarabangsa dan pada masa yang sama merancakkan hubungan kerjasama bagi memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara,” tambah Tan Sri Asmat Kamaludin.
Pameran DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 merupakan pameran pertahanan dwitahunan yang diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre.