Home Semasa Azmin: Polis tak perlu siasat Marina Mahathir, Ambiga

Azmin: Polis tak perlu siasat Marina Mahathir, Ambiga

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Mac –  Datuk Sri Mohamed Azmin Ali hari ini membidas tindakan pihak polis yang membuka kertas siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam Perhimpunan Selamatkan Malaysia, Tolak Pengkhianat pada Ahad susulan daripada krisis politik yang melanda negara.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara bahawa pihak polis akan menyiasat Datin Paduka Marina Mahathir, Dato Ambiga Sreenevasan dan beberapa individu kerana terlibat dalam perhimpunan di Sogo.

Ahli Parlimen Gombak itu dalam satu kenyataan berkata demontrasi secara aman adalah sebahagian daripada hak rakyat untuk membantah atau menyatakan pandangan mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Demokrasi adalah membenarkan perbezaan pandangan yang bermaksud orang awam bebas untuk melontarkan suara mereka secara aman tanpa mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa membenarkan orang ramai menyuarakan pandangan mereka dan tidak membuka kertas siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam protes aman berkenaan,” kata Azmin.

Azmin berkata, situasi politik negara sepanjang minggu lalu mengundang pelbagai pandangan dan keadaan itu tidak perlu menyebabkan mana-mana pihak menjadi terlalu sensitif.

“Saya yakin bahawa perbezaan pandangan adalah penting untuk demokrasi yang bersemangat dan sihat,

“Saya juga menggesa agar mana-mana pihak penganjur hormati undang-undang dan memberi notis awal bagi mengadakan perhimpunan seperti di bawah Akta perhimpunan Awam,“ tegasnya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan yang diadakan di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada Ahad lalu.

“Polis tidak menghalang kebebasan bersuara atau hak rakyat untuk berkumpul tetapi perlu mengikut undang-undang,” jelas Hamid.

 

 

Related Articles

Leave a Reply