Home Semasa Lucut kerakyatan individu hina Agong – NGO

Lucut kerakyatan individu hina Agong – NGO

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) mewakili sembilan badan bukan kerajaan (NGO) berkata individu-individu yang menghina Institusi Raja-raja adalah satu pengkhianatan kepada negara dan perlu dilucutkan kerakyatannya.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Aaron Yee’ yang menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kenapa hendak menghina kepada Agong? Baginda merupakan satu kedudukan utama dan berkuasa dalam pentadbiran negara Malaysia,

“Semua rakyat Malaysia harus setia kepada raja dan negara, sebagai warganegara kita tidak seharusnya mempertikaikan dan memaki hamun,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Menurutnya, beliau mencadangkan orang yang menghina Agong supaya diberi hukuman penjara 20 tahun, denda RM200 ribu, sebat 20 sebatan dan lucut kerakyatannya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed menerusi satu kenyataan berkata suspek berusia 35 tahun itu dikatakan memuat naik status menghina Al-Sultan Abdullah menerusi akaun Facebook ‘Aaron Yee’.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Related Articles

Leave a Reply