Home SemasaGlobal Airbnb, TripAdvisor, Greenkote ambil keuntungan jenayah perang Israel – PBB

Airbnb, TripAdvisor, Greenkote ambil keuntungan jenayah perang Israel – PBB

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Pejabat Persuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights, OHCHR) telah mengeluarkan senarai syarikat-syarikat yang berpangkalan di beberapa buah negara yang telah didapati mengambil keuntungan dari kegiatan jenayah perang Israel.

Menurut OHCHR kesemua 112 syarikat yang tersenarai dalam laporan dikeluarkan baru-baru ini berpangkalan di Amerika Syarikat, Israel, Belanda, Thailand, United Kingdom dan Perancis.

“Laporan yang dikeluarkan adalah berdasarkan maklumat yang dikumpul dan mempunyai bukti kukuh bagi merumuskan entiti-entiti yang tersenarai terlibat dalam satu atau beberapa aktiviti terkandung dalam Resolusi Persuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia 31/36,” kata OHCHR dalam satu kenyataan.

Resolusi tersebut turut mengarahkan pihak persuruhjaya tinggi untuk mengeluarkan pangkalan data kesemua syarikat yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti penempatan haram Israel di wilayah Palestin.

Dalam dokumen yang mempunyai 10 muka surat, terdapat beberapa nama besar syarikat pelancongan dan penginapan didakwa terlibat.

Antaranya, Airbnb Inc., Booking.com, TripAdvisor Inc dan Expedia Group.

Selain itu, syarikat pengeluar makanan Amerika Syarikat, General Mills turut tersenarai. General Mills merupakan pemilik kepada jenama Häagen-Dazs, Yoplait and Cheerios.

Syarikat Sweden, Volvo tidak tersenarai walaupun kenderaan mereka terlibat dalam aktiviti meroboh rumah penduduk Palestin, membuang bahan buangan dan sebagai pengangkutan bas berperisai kepada penduduk haram Israel.

Kenderaan Volvo dibekalkan melalui Mayer’s Cars and Trucks, yang merupakan syarikat ejen di Israel.

Selain syarikat makanan, kenderaan dan penginapan serta pelancongan, laporan oleh OHCHR turut menyenaraikan beberapa syarikat petrokimia di luar Israel terlibat dalam aktiviti di penempatan haram.

Antara syarikat yang tersenarai ialah Greenkote yang berpangkalan di United Kingdom dan Indorama Ventures P.C.L dari Thailand.

Galeri Gambar Kandungan Laporan OHCHR:

Related Articles

Leave a Reply