GEORGETOWN, 12 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang berjaya menahan sebuah kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang pada Isnin lepas.
Kapal kargo tanpa muatan itu berdaftar di Liberia ditahan di kedudukan 8.5 batu nautika Utara Teluk Bahang.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata kapal kargo sepanjang 265 meter itu dipercayai melakukan kesalahan sama iaitu berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Laut.
“Kapal tersebut dikendalikan 21 kru termasuk seorang nakhoda (master) dengan kesemua mereka merupakan warga Filipina,
“Kesemua mereka berumur lingkungan 27 sehingga 67 tahun berada di atas kapal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Beliau juga mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha kapal atau bot supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia khususnya di perairan Pulau Pinang agar tidak melakukan kesalahan yang boleh disabitkan.