Home Pertahanan dan Keselamatan Buku ‘Akhlak Ketenteraan’ panduan warga ATM laksana tugas

Buku ‘Akhlak Ketenteraan’ panduan warga ATM laksana tugas

by Admin

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) melancarkan buku berjudul ‘Akhlak Ketenteraan’ buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas.

Timbalan Pengerusi Kagat (Operasi dan Pembangunan Insan) Brig Jen Datuk Nawawi Daud berkata buku berkenaan dapat menjadi garis panduan kepada warga ATM untuk menambah nilai sebagai seorang tentera yang turut mementingkan aspek akhlak semasa menjalankan tugas atau operasi ketenteraan.

“Pasukan penulisan Kagat berusaha menyediakan isi kandungan buku mengandungi akhlak dalam ketenteraan berdasarkan panduan akhlak daripada al-Quran dan sunnah serta dimasukkan juga tentang etika dan adab dalam peperangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat ATM di Masjid Khalid Al-Walid di sini semalam.

Beliau berkata selain anggota tentera beragama Islam perlu memenuhi syarat kelulusan dalam Pendidikan Islam dan Fardu Ain (PIFA) untuk kenaikan pangkat, aspek akhlak turut diutamakan dalam usaha untuk melahirkan anggota tentera yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Dalam pada itu, turut dilancarkan sebuah lagi buku bertajuk ‘Sahih Al-Bukhari Kitab Al-Maghazi’ yang diterbitkan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama 16 penulis dari UKM dan Kagat yang menghimpunkan koleksi hadis berkaitan dengan peperangan ketika zaman Rasulullah SAW.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani berkata buku tersebut merupakan yang pertama menghimpunkan hadis mengenai ketenteraan yang diterbitkan di Malaysia, dengan dilengkapi terjemahan.

“Dana yang diberi sebanyak RM100,000 melalui zakat ATM memberi peluang kepada kami untuk menghimpunkan hadis berkaitan Maghazi (peperangan) Rasulullah dan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata buku mengandungi himpunan 525 hadis itu mengambil masa dua tahun sejak 2017 untuk diterbit dan akan diedarkan kepada kepimpinan ATM.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany turut hadir pada majlis itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply