Home Pertahanan dan Keselamatan 1,000 warga Kementerian Pertahanan sambut Bulan Sukan Negara

1,000 warga Kementerian Pertahanan sambut Bulan Sukan Negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Nov –  Seramai 1,000 orang warga Kementerian Pertahanan menyambut sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) 2019 peringkat kementerian hari ini.

Acara tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali di Padang Kawad Kem KEMENTAH.

“Penganjuran BSN 2019 adalah bertujuan untuk membudayakan dan memupuk semangat kesukanan dalam masyarakat bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan,

“Sebagai menghargai dan menyokong inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini, Kementerian Pertahanan telah mengorak langkah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sukan dan kesihatan,

“Antaranya menganjurkan pertandingan sukan tradisional, acara larian, zumba, Amazing Race, pertandingan bowling serta e-sport,” kata Mohd Zuki semasa ucapan kemuncak BSN 2019 peringkat Kementerian Pertahanan hari ini.

Menurutnya lagi, sukan sebenarnya bukanlah sekadar satu aktiviti kesihatan semata-mata. Sukan dapat mendatangkan pelbagai impak terhadap budaya masyarakat negara dan dapat mengeratkan hubungan antara komuniti-komuniti dalam masyarakat.

“Sukan juga dapat merapatkan jurang antara kaum dan etnik dalam sesebuah masyarakat seterusnya mewujudkan kestabilan dalam sesebuah negara terutamanya negara berbilang kaum seperti negara Malaysia,” katanya.

Objektif BSN 2019 yang dibuat oleh KBS adalah untuk membudayakan masyarakat Malaysia yang sentiasa cergas dan sihat dengan menjadikan aktiviti senaman sebagai rutin riadah harian.

Kementerian Pertahanan melalui program ini telah mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Oktober yang disertai oleh semua warga Kementerian dan agensi-agensi serta bahagian di bawah naungannya termasuk ahli keluarga.

Acara ini turut diserikan lagi dengan kehadiran atlet-atlet ATM yang terlibat dengan Sukan Komanwel 2018 dan Sukan SEA 2017.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM serta pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Related Articles

Leave a Reply