Home Pertahanan dan Keselamatan Diplomasi Pertahanan teras kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat – Mohamad Sabu

Diplomasi Pertahanan teras kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan diplomasi pertahanan sebagai benteng pertahanan dalam mempertahankan kepentingan negara yang merupakan teras kepada kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Malaysia akan terus memberi fokus kepada hubungan diplomasi yang kukuh dan memelihara kerjasama pertahanan dengan negara-negara lain menerusi hubungan dua hala atau pelbagai hala.

“Saya sendiri telah melaksanakan lawatan-lawatan kerja seperti pada tahun ini dengan menghadiri persidangan seperti ASEAN Defence Minister Meeting (ADMM) di Thailand, High Level Committee di Australia, Moscow Conference on International Security di Rusia, Shangri-La Dialogue di Singapura serta hadir ke International Paris Air Show dan Malaysia-France Defence Joint High Strategic Committee,

“Semua lawatan-lawatan ini dapat memperkukuh kehadiran Malaysia di peringkat antarabangsa serta dapat meningkatkan diplomasi pertahanan dikalangan negara-negara sahabat,” katanya bagi menjawab pertanyaan soalan dari bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN – Sembrong) pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Mohamad lagi, Malaysia kekal dengan pendirian untuk berkecuali dan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain.

“Malaysia mengambil pendekatan untuk menjaga hubungan baik dengan dua kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China termasuk dalam isu yang melibatkan Laut China Selatan,

“Malaysia  mengambil jalan tengah bagi mengelak sebarang provokasi dan sebaliknya mencari jalan perdamaian melalui dialog dan perbincangan,”jelasnya.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus memainkan peranan sebagai peneraju melalui penglibatan secara aktif dalam mencari penyelesaian secara perdamaian berkaitan isu keselamatan sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, Malaysia giat mempertingkatkan keupayaan pertahanan secara berperingkat berdasarkan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kemampuan negara.

“Perkara ini adalah selaras dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) dan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini,” tegas beliau.

Sementara itu, menyentuh soalan yang dibangkitkan oleh Chang Lih Kang (PH – Tanjong Malim) tentang perolehan helikopter Tentera Darat, Mohamad berkata Kementerian Pertahanan pada masa ini dalam tindakan untuk memuktamadkan hala tuju mengenai perolehan helikopter tersebut dengan menilai meklumat dan maklumbalas yang diterima dari semua pemegang taruh (stakeholders).

“Kementerian akan memastikan sebarang keputusan yang diambil dapat mengurangkan kerugian kepada Kerajaan pada tahap yang paling minima,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply