Home Semasa Kegagalan rangkaian operasi KLIA bukan akibat serangan siber – Anthony Loke

Kegagalan rangkaian operasi KLIA bukan akibat serangan siber – Anthony Loke

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menolak dakwaan serangan siber dan sabotaj sebagai punca kegagalan infrastruktur rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ogos lalu.

Menurut beliau kegagalan itu disebabkan oleh Rangkaian Suis Teras yang tidak berfungsi dan ketidakupayaan untuk memisahkan rangkaian suis teras tersebut.

“Suis teras tersebut telah digunakan sejak KLIA beroperasi pada tahun 1998 dan tidak diganti. Ianya merupakan suis yang menghubungkan kesemua rangkaian sistem di KLIA,” kata Anthony di Dewan Rakyat pada hari ini.

Ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad mengenai unsur sabotaj terhadap gangguan yang telah berlaku di KLIA, Anthony berkata ianya bukan disebabkan serangan siber.

“Hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan terdapat sebarang serangan siber samada dari dalaman atau luaran yang boleh mengaitkan kegagalan rangkaian Total Airport Management Systems (TAMS),

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan jenayah bagi mengenalpasti jika terdapat sebarang unsur khianat atau sabotaj,” tambahnya lagi.

Bagi mengelakkan insiden yang sama berulang, Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa khas pada 28 Ogos 2019 untuk memastikan keadaan dan punca sebenar kegagalan rangkaian TAMS di KLIA.

Related Articles

Leave a Reply