Home Pertahanan dan Keselamatan Ancaman tak akan tunggu Kertas Putih Pertahanan, bila nak bentang? – Hishammuddin Hussein

Ancaman tak akan tunggu Kertas Putih Pertahanan, bila nak bentang? – Hishammuddin Hussein

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Bekas Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein hari ini meluahkan rasa kecewa beliau terhadap perbentangan Belanjawan 2020 yang tidak memperincikan inisiatif untuk sektor pertahanan.

“Saya kecewa dengan Belanjawan 2020 khususnya untuk sektor pertahanan kerana tiada langsung memperincikan inisiatif yang akan dilaksanakan,

“Saya tidak bimbang soal peruntukan (Belanjawan 2020) tetapi saya nak tahu apa inisiatif yang Kementerian Pertahanan Malaysia akan laksanakan bagi memperkukuhkan keselamatan negara,” kata Hishammuddin dalam akaun Twitter rasminya selepas menghadiri sesi perbentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan jangka waktu sebenar Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Kita masih perlu tunggu KPP yang entah bila akan dibentangkan. 10 Januari lalu Menteri Pertahanan kata nak bentang September. 29 Januari – beliau cakap nak bentang Julai,

“Julai – beliau ubah pula cakap nak bentang pada Sidang Parlimen akan datang. Ogos – beliau cakap nak bentang November.Dan baru-baru ni – beliau cakap nak bentang selepas Bajet 2020. Jadi, sebenarnya bila?” soal Hishammuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

KPP merupakan dokumen terbuka yang memberikan penerangan secara jelas peranan rakyat, agensi dan organisasi pertahanan selain anggota tentera dalam mempertahankan negara. Dokumen ini bersifat umum dan tidak mengandungi maklumat sulit serta sensitif berhubung keselamatan negara.

Berdasarkan dokumen Aturan Urusan mesyuarat dan Usul-usul, KPP telah disenaraikan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen. Sesi Dewan Rakyat telah mula bersidang setiap hari Isnin hingga Khamis semenjak 7 Oktober lalu dan akan berakhir pada 5 Disember nanti.

Hishammuddin turut mengingatkan bahawa ancaman keselamatan boleh berlaku bila-bila masa.

“Soal keselamatan tidak boleh ditangguh kerana ancaman boleh hadir pada bila-bila masa dan tidak akan menunggu KPP,” ujar Hishammuddin.

Terdahulu, Belanjawan 2020 telah menyaksikan peruntukan sebanyak RM 15.6 bilion kepada Kementerian Pertahanan Malaysia. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM 12.5 bilion diperuntukkan untuk Belanja Mengurus manakala RM 3.08 bilion bagi tujuan Belanja Pembangunan.

Selain daripada peningkatan peruntukan sebanyak 12%, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM 150 juta bagi kerja selenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera. Pada masa yang sama, kerajaan turut mengumumkan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia sebanyak RM 250 yang akan dibayar secara one-off kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply