Home Pertahanan dan Keselamatan Elaun PJM akan dibayar kepada penerima yang masih hidup, tamat perkhidmatan

Elaun PJM akan dibayar kepada penerima yang masih hidup, tamat perkhidmatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) akan dibayar kepada penerima yang masih hidup dan telah menamatkan perkhidmatan.

“Elaun Kenangan PJM ini hanya diberikan kepada penerima PJM yang masih hidup pada tarikh elaun ini dikuatkuasakan dan akan terhenti apabila penerima PJM meninggal dunia,

“Penerima PJM yang masih berkhidmat, elaun ini akan hanya dibayar setelah pegawai tersebut tamat perkhidmatan,” jelas Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Beliau menambah, elaun PJM akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020 dan pembayaran akan dilaksanakan selepas pihak Kementerian Pertahanan menerima peruntukan. Urusan elaun PJM akan dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hampir 70,000 pemegang PJM akan menerima bayaran saguhati sebanyak RM 500 di bawah peruntukan keseluruhan sebanyak RM 35 juta. Elaun tersebut merupakan sebahagian daripada perkara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

PJM diberikan kepada pegawai dan anggota tentera yang berkhidmat pada tahun 1969 hingga 1990 yang terlibat dalam operasi menentang pengganas komunis.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM 150 juta bagi membaiki dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Dalam Belanjawan 2020, Kementerian Pertahanan Malaysia merupakan penerima ke-5 terbesar dengan peruntukan sebanyak RM 15.6 bilion berbanding RM 13.9 bilion pada tahun 2019. Dari jumlah tersebut, Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM 12.5 bilion untuk Belanja Mengurus manakala RM 3.08 bilion untuk Belanja Pembangunan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply