Home Pertahanan dan Keselamatan Belanjawan 2020: LTAT sambut baik peningkatan peruntukan bagi pertahanan

Belanjawan 2020: LTAT sambut baik peningkatan peruntukan bagi pertahanan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyambut baik peningkatan 12 peratus peruntukan belanjawan bagi Kementerian Pertahanan daripada RM13.9 bilion kepada RM15.6 bilion bagi tahun fiskal 2020.

Ini, kata LTAT, akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikatnya yang merupakan peserta utama dalam sektor maritim, dengan projek-projek semasa daripada kementerian tersebut.

Selain itu, langkah kerajaan meluaskan skim Bantuan Sara Hidup adalah satu berita yang sangat baik, terutamanya bagi veteran angkatan tentera kerana ia akan membantu mereka menangani peningkatan kos hidup, kata Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Kami terutamanya gembira dengan skim pembiayaan Sewa Untuk Milik (RTO) yang diumumkan kerana ia akan memberi impak positif kepada keupayaan kami untuk menjual baki unit kondominium yang tidak terjual.

“Selain itu, LTAT akan menawarkan 2,500 unit rumah mampu milik di Taman LTAT Bukit Jalil kepada anggota angkatan tentera dalam tahun fiskal akan datang, yang juga akan mendapat manfaat daripada skim RTO.

“Dengan langkah-langkah berpaksikan rakyat dalam realiti iklim ekonomi semasa kita, LTAT yakin Belanjawan 2020 akan merangsang tahun pertumbuhan bersama,” katanya. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply