Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-7 bukti profesionalisme ATM diiktiraf dunia – Mohamad Sabu

MALBATT 850-7 bukti profesionalisme ATM diiktiraf dunia – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

SUBANG, 1 Okt  – Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam  melaksanakan misi di bawah panji-panji Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab seluruh anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.

“Penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa  Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,“ katanya semasa Majlis Pemakaian Beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan MALBATT 850-7 di Pangkalan Udara Subang.

Kumpulan pertama pasukan MALBATT 850-7 berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi PBB di Lubnan (UNIFIL) pada hari ini. Kontijen ini terdiri daripada 216 anggota yang diketuai Kolonel Khairul Anwar Soib berlepas di Pangkalan Udara Subang jam 5.10 petang tadi.

Terdahulu, majlis pemakaian beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Kumpulan pertama yang terdiri dari 50 pegawai dan 165 anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM serta dua anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Manakala kumpulan kedua, ketiga dan keempat MALBATT 850-7 dijadualkan akan berlepas secara berperingkat pada 8, 15 dan 22 Oktober ini.

Keseluruhan kekuatan anggota MALBATT 850-7 berjumlah 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota LLP termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

MALBATT 850-7 ditugaskan untuk menggantikan MALBATT 850-6 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin. Kotinjen ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Sebelum itu, anggota MALBATT 80-7 menjalani latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) mulai 17 Jun hingga 9 Ogos 2019 selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kebajikan Anggota dan Keluarga Terjaga’

Mohamad yakin Markas Angkatan Bersama (MAB) sebagai markas yang bertanggungjawab dalam mengawal operasi luar negara akan sentiasa memastikan  kebajikan ahli keluarga MALBATT 850-7 diberi penumpuan sewajarnya agar para anggota pengaman dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap pelaksanaan misi.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh anggota keluarga MALBATT 850-7 yang telah memberi restu kepada suami, isteri, anak atau saudara-mara masing-masing untuk melaksanakan misi di luar negara,” ujarnya beliau.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin,; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Tentera Darat,  Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Angkatan Bersama, Datuk Suhaimi Mohd Zuki serta Penasihat Pertahanan Brunei, Hj Hishamuddin Abidin.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply