Home Pertahanan dan Keselamatan Hargai perasaan perwira negara – Bekas tentera

Hargai perasaan perwira negara – Bekas tentera

by Bernama

KOTA BHARU, 27 Ogos – “Mat, ambil alih arahan,” itu perintah terakhir sebelum ketua platun Mej Wong See Nam pengsan selepas mengalami kecederaan akibat ditembak di perut, walaupun peristiwa itu sudah berpuluh tahun berlalu, ia masih terngiang-ngiang dan segar di telinga Mej (B) Mohamad Ibrahim.

“Dalam tentera, itu adalah perintah terakhir. Dia pengsan dan saya mengambil alih sebagai ketua platun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Baung Pengkalan Chepa dekat sini.

Muhammad, 65, berkata peristiwa itu adalah pertempuran pertama pasukannya dengan pengganas komunis di Hutan Melintang, Perak, dan beliau bersyukur dalam insiden itu, Wong berjaya diselamatkan.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata pengalamannya sepanjang empat tahun bersama Pasukan 8 Ranger di Ipoh, beliau empat kali bertempur dengan komunis dengan pertempuran pertama, berdepan pasukan komunis diketuai tokoh reformis berhaluan kiri, Shamsiah Fakeh yang merupakan pasukan (komunis) terkuat ketika itu, di kawasan Kampung Itek.

“Kumpulan kami dinamakan Unit Combat Intelligence Section (UCIS) dengan kekuatan 36 anggota. Saya pada masa itu masih berpangkat second lieutenant dan memilih Kanang (mendiang Datuk Kanang anak Langkau) bersama saya dalam pasukan.

“Masa kami bertempur hanya tersemat dalam fikiran, komunis adalah musuh negara, perlu dihapuskan. Sebab itu apabila berlaku pertempuran, kita tak ingat apa, walaupun nasib kurang baik dan dapat seorang komunis sahaja yang mati, ia sangat bererti dalam memastikan jumlah musuh berkurangan,” katanya.

Mohamad berkata semasa pertempuran, anggota boleh mengecam sama ada ia tembakan musuh atau rakan sepasukan kerana sudah dilatih untuk mengenal tembakan musuh, senjata apa yang digunakan serta bagaimana nak mempercepatkan serangan terhadap musuh.

Ditanya apakah perasaan beliau apabila pasukan diserang, manakala rakan ada yang gugur dan cedera, Mohamad berkata sebagai pegawai tentera mereka tiada masa untuk bersedih sebaliknya kena sentiasa bersedia memastikan anggota dalam pasukan selamat dan dalam masa sama merangka serangan balas.

“Perasaan takut, kecewa, sedih tidak bermain dalam fikiran pegawai tentera walaupun kami mengalami kecederaan. Contohnya Ranger Adnan yang terkena jerangkap samar, tangannya hancur, nampak tulang dan isi perut keluar…dia pun (ketika itu) dah tak sedar.

“Tapi itulah tanggungjawab kami, macam mana nak menyelamatkan nyawa. Alhamdulillah, walaupun mungkin tindakan untuk bawa anggota yang cedera lambat sikit, sebab bertempur di tengah-tengah hutan, tapi alhamdulillah semua selamat,” katanya dengan penuh semangat.

“Kelebihan pasukan Ranger ia bersifat berbilang kaum, Melayu, Cina, India, Iban, Dayak, serta Orang Asli Senoi Prak dan tidak pernah ada rasa ‘awak ni Cina, awak India’ terutama sekali dalam bertugas di perbatasan. Semasa dalam pertempuran, warna kulit tidak menjadi halangan untuk sama-sama berusaha mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas.

“Tak ada bangsa dalam Ranger…sebab tu saya kata, Ranger is the best…susah, senang saya dalam pasukan Ranger, semua bangsa adalah sama. Kita mesti sayang antara satu dengan lain,” tegasnya.

Mengulas mengenai sikap sesetengah individu yang suka mengeluarkan kenyataan memperlekeh pasukan keselamatan, pesara Angkatan Tentera Malaysia itu berkata:

“Janganlah sesuka hati membuat kenyataan sehingga mengguris perasaan kami yang tidak tidur malam, berendam dalam air menunggu musuh, yang di dalamnya ada ular berbisa, lintah yang kelaparan menghisap darah serta dipenuhi dengan onak duri, untuk memastikan orang di luar hidup dalam aman damai,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply