Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan harap pemberian elaun PJM dilaksanakan tahun depan

Kementerian Pertahanan harap pemberian elaun PJM dilaksanakan tahun depan

by Bernama

MELAKA, 18 Julai – Kementerian Pertahanan berharap pemberian elaun kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dapat dilaksanakan tahun depan, kata menterinya, Mohamad Sabu.

Beliau berkata memorandum cadangan tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan kerajaan.

Katanya, pemberian elaun tersebut merupakan antara inisiatif kementerian itu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penerima PJM, memastikan golongan itu dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan mengenang jasa mereka terutama pada waktu darurat.

“Kita telah menghantar memorandum cadangan itu namun kelulusannya bergantung pada Bajet tahun hadapan yang akan dibentangkan pada Oktober nanti,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Penganugerahan PJM 2019, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 507 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada pelbagai persatuan veteran ATM dari Melaka dan Negeri Sembilan menerima pingat tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata cadangan kadar elaun itu bagaimanapun belum diputuskan kerana ia bergantung kepada pada peruntukan yang diluluskan nanti.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 27,109 veteran ATM dari seluruh negara telah menerima PJM daripada jumlah keseluruhan kira-kira 60,000 veteran yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, katanya, kira-kira RM47.56 juta telah diagihkan menerusi Bantuan Harapan Negara 2019, kepada 95,110 veteran dengan pembayaran fasa pertama pada 27 Mei lalu dan bakinya dijangka akan menerima secara berperingkat sehingga Okober depan.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak korporat, kementerian, agensi kerajaan dan kerajaan negeri agar menyumbang ke Tabung Pahlawan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Ia sebagai tanda penghargaan terhadap kerja kuat dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara sehingga aktiviti ekonomi berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Sambutan Hari Pahlawan peringkat Kebangsaan pada tahun ini yang sepatutnya disambut pada 31 Julai setiap tahun akan ditunda kepada 18, 19 dan 20 Sept ini bagi memberi laluan kepada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply