Home Pertahanan dan Keselamatan Merompak hasil laut negara, Maritim Malaysia tahan empat bot nelayan Vietnam di Sarawak

Merompak hasil laut negara, Maritim Malaysia tahan empat bot nelayan Vietnam di Sarawak

by Nurulhuda

KUCHING, 9 Julai 2019 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan empat buah bot nelayan asing dari negara Vietnam ketika sedang leka merompak hasil laut dalam di perairan negara berdekatan Tanjung Sirik, Kuching, Sarawak Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata kejayaan tersebut adalah hasil aduan orang awam berkaitan pencerobohan bot-bot nelayan asing di kawasan berkenaan.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, kesemua tekong dan awak-awak yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 55 tahun didapati gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 13 tan pelbagai jenis ikan dan hasil rampasan keseluruhan termasuk nilai empat buah bot serta peralatan menangkap ikan dianggarkan melebihi RM6 juta,” kata Robert, pada sidang akhbar di jeti Kompleks Maritim Tun Ahmad Salahuddin, di Muara Tebas, Kuching, Sarawak hari ini.

Robert turut menjelaskan, pihaknya komited dalam menjalankan tugas menjaga kedaulatan perairan negara khususnya di negeri Sarawak.

“Maritim Malaysia sentiasa berusaha melaksanakan rondaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan pencerobohan yang mencuri hasil laut negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan diminta untuk  menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam atau MERS 999.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply