Home Pertahanan dan Keselamatan Cuba berniaga di Afghanistan kalau boleh dapat untung macam di Malaysia – Mohamad Sabu

Cuba berniaga di Afghanistan kalau boleh dapat untung macam di Malaysia – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegur sikap syarikat-syairkat besar di negara ini yang masih kurang berminat untuk menyumbang kepada tabung veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad berkata hanya syarikat yang berurusan dengan pihak Kementerian Pertahanan sahaja menunjukkan minat untuk memberi sumbangan kepada tabung tersebut.

“Sikap syarikat-syarikat besar, apabila kita membuat suatu majlis jamuan tahunan untuk kutipan derma kepada tabung veteran ATM, selalunya yang datang menderma adalah syarikat yang mempunyai urusan dengan Kementerian Pertahanan,

“Perkara ini perlu diperbetulkan, bahawa syarikat-syarikat besar yang kaya-raya perlu ingat bahawa mereka dapat keuntungan perniagaan di negara ini kerana keamanan yang dikecapi,

“Oleh itu, syarikat-syarikat tersebut digalakkan untuk menderma kepada tabung veteran ATM,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa tahap kesedaran terhadap jasa dan pengorbanan kepada veteran tentera adalah tinggi di negara lain. Mohamad mengambil contoh bagaimana rakyat United Kingdom (UK) memakai bunga poppy sebagai tanda peringatan kepada jasa veteran tentera. Menurutnya, apa yang dilakukan oleh rakyat UK menunjukkan mereka sedar akan pengorbanan anggota tentera kepada negara.

Beliau menambah, situasi yang berlainan berlaku di negara ini dengan melihat tahap kesedaran syarikat-syarikat besar terhadap veteran tentera di Malaysia adalah rendah.

“Perkara ini perlu diperbetulkan sebab keselamatan negara inilah menyebabkan mereka (syarikat besar) dapat berniaga,

“Kalau mereka pandai berniaga, pergilah Afghanistan, kalau mereka nak tahu boleh berniaga dalam negara yang tidak aman. Sebab itu kebajikan tentera mesti dibela dari masa ke semasa,” ujar Mohamad.

 

Related Articles

Leave a Reply