KUALA LUMPUR, 30 Dis – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa 5 syarikat swasta termasuk industri pertahanan telah menyalurkan sumbangan dana bantuan banjir sebanyak RM3.7 juta kepada Kementerian Pertahanan.
Beliau berkata, sumbangan dana ini merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas bagi membantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), warga awam Kementerian Pertahanan dan veteran ATM yang terjejas akibat banjir.
“Syarikat yang telah menyalurkan sumbangan dana kali ini adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); Affin Bank; Boustead Group; Pharmaniaga dan Sapura Group,
“Sumbangan yang diterima ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban bukan sahaja anggota dan warga awam Kementerian Pertahanan, tetapi juga saya sendiri secara peribadi mahu fokus turut diberikan bagi membantu veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja dan tinjauan di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 bgd), hari ini.
Selain itu, beliau berkata, sumbangan ini termasuklah memberikan bantuan wang tunai secara one-off kepada veteran ATM.
“Bantuan ini merupakan tambahan kepada bantuan khas RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini serta bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, bagi pihak Kementerian Pertahanan dan ATM, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat yang tampil menyumbang bagi bersama-sama membela kebajikan warga MINDEF serta ATM di saat memerlukan.
“Ia selari dengan peringatan saya beberapa kali sebelum ini khususnya kepada syarikat industri pertahanan bahawa kerjasama mereka bersama MINDEF mestilah bersandarkan kepentingan keselamatan negara serta kebajikan anggota, veteran ATM dan awam MINDEF, bukannya demi keuntungan,
Pada masa sama, Hishammuddin juga berterima kasih kepada pihak LTAT di atas keprihatinan untuk menerajui inisiatif pengumpulan dana bantuan banjir ini.
“Saya amat mengalu-alukan syarikat terutama syarikat industri pertahanan yang lain untuk turut tampil menyumbang demi membantu mereka yang kesusahan di musim banjir ini,” jelasnya. – airtimes.my