Home Semasa Aset APM mencukupi – Ketua Pesuruhjaya APM

Aset APM mencukupi – Ketua Pesuruhjaya APM

by Bernama

BALIK PULAU, 6 Julai – Jumlah aset yang di miliki Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) ketika ini mencukupi untuk meningkatkan kecekapan serta kepantasan dalam menangani bencana terutama banjir di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata perkara yang penting sekarang ini adalah untuk pegawai APM melatih anggota yang terdiri daripada sukarelawan supaya mereka mahir menggunakan aset-aset berkenaan.

“Aset-aset yang ada sekarang ini pada saya mencukupi, macam baru-baru ini kami menerima 100 bot aluminium (ARB) dan 100 buah bot jenis ‘inflatabel’ (RIB) untuk di agihkan di seluruh negara bagi meningkatkan lagi kecekapan pegawai serta anggota APM.

“Lagipun agensi-agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga mempunyai pelbagai aset lain yang saya percaya ia dapat membantu satu sama lain ketika bencana terutama banjir besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau di temui selepas menerima sumbangan sebuah bot ARB oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Lion Antarabangsa cawangan Bayan Baru, yang di wakili Naib Presidennya Datuk Goh Hun Guan.

Katanya ketika ini terdapat lebih 2 juta anggota APM di seluruh negara namun hanya 30,000 yang aktif dengan kira-kira 2,000 orang bertugas setiap hari.

“2,000 anggota yang aktif itu bertugas 24 jam sehari dalam penugasan Mers 999 di 141 daerah di seluruh negara namun jika berlaku bencana seperti banjir besar, memang semua anggota APM akan turun membantu kerana mereka telah di berikan kursus serta dilatih,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata APM mengucapkan terima kasih kepada Kelab Lion Antarabangsa cawangan Bayan Baru kerana menyumbangkan sebuah bot ARB kepada APM Pulau Pinang dan beliau berharap lebih banyak NGO akan tampil memberikan sumbangan kepada pihaknya.

“Sumbangan pada hari ini menunjukkan kesedaran masyarakat terutama NGO Kelab Lion Antarabangsa cawangan Bayan Baru dalam membantu APM menjalankan tugas dalam membantu orang ramai terutama mangsa bencana,”katanya.

Manakala, Goh pula berkata pihaknya berbesar hati untuk menyumbangkan bot itu kepada APM kerana ia dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan ketika bencana dan kelab tersebut juga merancang untuk menyumbang lagi pada masa hadapan.

“Kami terpanggil untuk menyumbang kerana pada tahun 2017, Pulau Pinang mengalami banjir besar dan saya lihat bot merupakan antara aset yang penting ketika itu jadi kami melancarkan kutipan untuk membeli bot bernilai RM25,000 tersebut,”katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply