Home Politik Pelawaan Tun M agar parti Melayu sertai Bersatu perlu dilihat positif: KJ

Pelawaan Tun M agar parti Melayu sertai Bersatu perlu dilihat positif: KJ

by Bernama

IPOH, 7 Jul – Pelawaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai niat yang baik.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata semua pihak perlu melihat pelawaan Pengerusi Bersatu itu dari sudut positif termasuk untuk menjadikan perpaduan Melayu kembali kuat.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata walaupun terdapat pihak yang seolah-olah menentang pelawaan itu, namun bagi beliau niat Dr Mahathir itu adalah betul.

“Ada yang terus mengeluarkan kenyataan kata tak mahu dan ada juga yang gesa beliau (Dr Mahathir) meminta maaf, kenapa tidak kita ambil positif dulu kerana bagi saya niatnya adalah betul sebagai seorang ayahanda dan ahli negarawan.

“Dalam ucapannya beliau menyatakan orang Melayu sekarang sudah berpecah yang mana mempunyai lebih empat dan enam parti, ini bermakna undi Melayu juga sudah berpecah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat di sini, semalam.

Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di Johor Bahru semalam mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Katanya kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis – Bernama

Related Articles

Leave a Reply