Home Pertahanan dan Keselamatan Land Swap: Hishammuddin beri keterangan pada SPRM Ahad ini

Land Swap: Hishammuddin beri keterangan pada SPRM Ahad ini

by Bernama

PUTRAJAYA, 21 Jun – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka memberi keterangan berhubung isu ‘land swap’ atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pernah menjadi menteri pertahanan telah selesai diambil keterangannya semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diambil keterangan berkenaan isu itu.

“Belum panggil lagi… sedang kumpul bukti dan ambil keterangan dari yang lain dulu dan akan panggil dia (Najib) apabila sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media SPRM mengenai tindakan terkini berkenaan kes 1MDB di sini hari ini.

Februari lepas, sebuah akhbar melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik MINDEF dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Berkenaan isu helikopter, Azam berkata dua individu daripada syarikat yang terlibat menerima projek berkenaan direman selama enam hari bermula tiga hari lepas.

Pada 13 Jun lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply