Home Pertahanan dan Keselamatan Mohamad Sabu sambut Aidilfitri bersama anggota Malbatt di Lubnan

Mohamad Sabu sambut Aidilfitri bersama anggota Malbatt di Lubnan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berada di Lubnan pada hari raya pertama bersama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (Malbatt 850-6) yang kini bertugas dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL).

Hari raya di Luban disambut sehari lebih awal dari Malaysia.

Mohamad dalam ucapan Aidilfitri mengharapkan anggota sentiasa tabah dan mampu memikul tugas yang diamanahkan walaupun berada di perantauan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bungkusan raya dan menikmati pelbagai hidangan seperti dodol, lemang dan ketupat yang merupakan juadah wajib lebaran.

Pegawai Perhubungan Raya Malbatt 850-6 Mejar Muhammad Azemy Dulhani dalam kenyataan berkata kehadiran Mohamad dan Lim sedikit sebanyak mengubat kerinduan anggota yang berjauhan dengan keluarga dan tanah air demi menjaga keamanan sejagat.

“Kehadiran kedua-dua menteri itu dilihat sebagai menyuntik semangat kepada anggota misi terutama sempena sambutan Aidilfitri ini,” katanya.

Kedua-dua mereka turut diiringi Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply