Home Semasa Rakyat Malaysia di Abu Dhabi sambut Aidilfitri, meriah

Rakyat Malaysia di Abu Dhabi sambut Aidilfitri, meriah

by Air Times News Network

ABU DHABI, 4 Jun – Kira-kira seramai 250 orang rakyat Malaysia bersama keluarga yang bermastautin di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak pulang ke tanah air untuk menyambut 1 Syawal bersama sanak saudara tercinta telah menyertai program solat sunat Aidilfitri dan sambutan Hari Raya anjuran Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Takbir Hari Raya disertai warga kedutaan dan rakyat Malaysia di Abu Dhabi

Program yang bermula seawal jam 8 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) didahului dengan takbir hari raya sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan pada jam 8.30 pagi diimamkan oleh Ustaz Faris Deraman, 24, dan khatib Ustaz Baihaki Rashid, 25, yang merupakan pelajar Malaysia di Universiti Al Azhar, Mesir.

Juadah disediakan dengan kerjasama ahli Perwakilan dan Usrah Abu Dhabi

Bagi mengubati kerinduan kampung halaman, usai solat sunat Aidilfitri, warga kedutaan dan rakyat Malaysia yang hadir turut disajikan dengan pelbagai hidangan seperti nasi impit, kuah kacang, satay dan nasi tomato yang mana telah disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) dan Usrah Abu Dhabi.

Penyertaan mereka dari pelbagai latar belakang kerjaya di Abu Dhabi dan sekitar UAE telah memeriahkan program tahunan yang dianjurkan sekaligus mengubati kerinduan terhadap tanah air selain sebagai medium mengeratkan ukhwah di kalangan rakyat Malaysia yang bermastautin di UAE.

Terdahulu, Emeriah Arab Bersatu mengumumkan tarikh 1 Syawal 1440 Hijrah bersamaan 4 Jun 2019 Masihi serentak bersama-sama negara Teluk dan Asia Tengah lain seperti Turkmenistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan serta Afghanistan apabila Arab Saudi mengumumkan tarikh hari raya Aidilfitri ialah pada 4 Jun setelah anak bulan kelihatan di negara itu pada petang Isnin.

Antara negara lain yang menyambut 1 Syawal pada hari ini ialah Uganda, Ethiopia, Somalia, Sierra Leone, Republik Kongo, Mesir, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Tarikh Hari Raya Aidilfitri berbeza antara sesebuah negara adalah kerana berpandukan anak bulan kelihatan atau tidak atau menggunakan kaedah falak.

Related Articles

Leave a Reply