KUALA LUMPUR, 17 Mei – Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa beliau mengambil pendirian terbuka dalam siasatan berhubung skandal ‘Land Swap’ membabitkan tanah-tanah milik Kementerian Pertahanan (MINDEF)
Anggota Parlimen Sembrong itu juga menyambut baik tindakan kementerian itu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pendedahan 16 projek ‘Land Swap’ itu yang telah diluluskan oleh Kabinet sejak 1995 .
“Saya juga telah meminta wakil saya untuk memfailkan laporan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan dengan semua 16 perjanjian land swap tanpa pilih bulu. Sebarang maklumat yang kami miliki akan dihantar terus kepada SPRM bagi membantu siasatan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), siasatan mengenai projek ‘Land Swap’ itu mendapati unsur-unsur kelemahan dan kecuaian daripada segi tadbir urus selain penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan dalam 13 daripada 16 projek ‘Land Swap’.
Menurut JKSTUPKK yang membuat siasatan dari Julai hingga Disember 2018, kelemahan itu termasuk dalam perancangan dan perolehan yang menyebabkan tujuan asal projek untuk meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan negara tidak tercapai sepenuhnya.
Hishammudin dalam pada itu turut menggesa agar semua bahan bukti dan dokumen, berserta laporan penuh JKSTUPKK diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan mereka menyiasat secara sepenuhnya terhadap 16 perjanjian land swap itu.
“Isu ini tidak boleh diheret ke dalam perbicaraan media untuk dihakimi, persepsi akan menutup realiti, jadi serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan penuh teliti agar kebenaran diadili,” katanya.
MINDEF dalam satu kenyataan pada 14 Mei lepas berkata telah membuat dua laporan kepada SPRM mengenai ‘land swap’ dan mahu tindakan lanjut dan terperinci dilakukan bagi menyiasat perkara itu. – Bernama