Home Semasa Dakwa Tragedi 13 Mei dongeng: Itu fitnah parti lawan terhadap saya – AJK DAP

Dakwa Tragedi 13 Mei dongeng: Itu fitnah parti lawan terhadap saya – AJK DAP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa insiden 13 Mei adalah “dongeng dan patut dilupakan”.

“Saya tidak pernah buat kenyatan sedemikian,” jelas Edry Faizal ketika dihubungi semalam.

“Parti lawan cuba mereka-reka cerita palsu konon saya berkata sedemikian. Bagi saya peristiwa 13 Mei 1969 adalah sejarah yang harus diingati dan bukan untuk dijadikan bahan mainan politik seperti parti lawan sedang lakukan sekarang.

“Betapa pentingnya menjaga keamanan yang ada pada hari ini diperlihara dan perlunya kita meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen kaum tidak kiralah dari kaum mana pun,” tegas Edry yang juga Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY).

Beliau turut menyifatkan fitnah tersebut sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan sentimen kaum dan agama.

“Saya berharap rakyat bertenang dan berhati-hati dengan ‘jarum halus’ parti lawan di media sosial yang mahu memecahbelahkan masyarakat kita.

“Mereka juga mahu masyarakat bertindak di luar pertimbangan kewarasan kita.

“Mereka dibayar untuk menimbulkan huru-hara sebegini dan akhirnya… yang rugi nanti kita semua,” jelas lagi.

Edry menyatakan perkara tersebut setelah diminta mengulas mengenai gambar tular di media sosial yang mendakwa beliau menyatakan insiden 13 Mei merupakan satu dongeng dan patut dilupakan oleh generasi masa kini.

Gambar tersebut tular di media sosial pada ulangtahun ke-50 insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969.

13 Mei 1969 merupakan antara insiden rusuhan kaum terburuk dalam negara dan berlaku selepas pilihanraya diadakan pada 10 Mei 1969. Pilihanraya tersebut merupakan yang pertama semenjak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Berikutan insiden tersebut, darurat telah diisytiharkan pada 14 Mei dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan tidak lama kemudian.

Related Articles

Leave a Reply