Langkawi, 28 Mac – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2020 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2020 yang akan berlangsung tahun depan dijangka menjadi platform terbaik dalam menangani isu keselamatan serantau dan global, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Mohamad berkata acara dwitahunan itu dijangka mendepani antaranya isu berhubung keganasan, keselamatan siber, bantuan kemanusiaan dan bencana, misi pengaman dan penjagaan kesihatan di medan perang, serta perlindungan aset kritikal.
“Isu keselamatan negara merupakan isu paling penting kerajaan. Ketika Malaysia dan rantau ini secara amnya menikmati kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi, isu-isu keselamatan bukan konvensional terus terbentuk dan mempengaruhi sifat ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara.
“Di sinilah inisiatif seperti DSA menyerlah, acara unik ini telah menghimpunkan pemimpin industri, kerajaan, tentera, agensi pertahanan dan keselamatan dalam negeri dari seluruh rantau,” katanya pada sidang media selepas melancarkan DSA dan Natsec Asia 2020, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, hari ini.
DSA dan NATSEC Asia 2020 yang dianjurkan dengan kerjasama penuh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan akan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2020 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Sebanyak 1,500 syarikat teknologi keselamatan dan pertahanan dari lebih 60 negara dan 50,000 pelawat dari 70 negara dijangka akan menghadiri pameran ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran ini termasuklah, Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan, Tan Sri Asmat bin Kamaludin, Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, serta kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.
