Home Semasa PDRM tumpaskan 13 suspek kumpulan penganas

PDRM tumpaskan 13 suspek kumpulan penganas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Dua belas warga Filipina dan seorang warga tempatan berjaya ditahan dalam serbuan di Semporna dan Tambunan, Sabah selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas pada 11 dan 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi itu dilaksanakan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Unit 69 Komando PDRM.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 11 Mac lalu di Semporna membabitkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia 40 hingga 60 tahun.

Empat daripada mereka disyaki terbabit dalam pertempuran bersama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada 2017.

“Kesemua yang ditangkap, disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan sama ada kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan Pengganas Maute atau Kumpulan Royal Sulu Force (RSF).

“Ada di kalangan suspek yang ditangkap juga terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen-elemen pengganas asing yang bersembunyi di Sabah, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Seorang daripada suspek ditahan bekerja sebagai buruh binaan dipercayai anggota kumpulan pengganas ASG yang pernah terbabit dalam insiden serangan di Bandar Marawi, Filipina. Suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember tahun lalu bersama anggota kumpulan berkenaan bagi mengelak daripada operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

“Sementara itu, lima lagi suspek ditahan kerana terbabit dalam memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas,” katanya lagi.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan pada 12 Mac di Tambunan, Sabah membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek ditahan kerana memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas.

“Dengan tangkapan itu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASG dan kumpulan pengganas Maute yang bersembunyi di negara ini, terutamanya di Sabah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut BAB VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan siasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Dalam operasi ini, 10 warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah turut ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” tegas Mohamad Fuzi.

 

Related Articles

Leave a Reply