Home Semasa Rome Statute: Kedaulatan Agong tidak akan tergugat – Kementerian Luar

Rome Statute: Kedaulatan Agong tidak akan tergugat – Kementerian Luar

by M.Daim

PUTRAJAYA, 10 Mac – Kementerian Luar Negeri hari ini menyatakan penyertaan Malaysia dalam Statut Rome tidak akan menggugat kedudukan dan kekebalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan di atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri,” menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Kenyataan yang sama turut menjelaskan bahawa, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah telah menyembahmaklum perkara tersebut serta menerangkan hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rome kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 Februari 2019 lalu.

Penerangan tersebut adalah lanjutan kepada warkah daripada Perdana Menteri kepada pemangku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 26 Disember 2018.

Menurut Kementerian Luar, keputusan kerajaan untuk menyertai Statut Rome adalah selari dengan dasar kerajaan semasa.

“Keputusan Kerajaan untuk menyertai Statut Rome adalah selari dengan dasar kerajaan ‘Malaysia Baharu’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban,” jelas Kementerian Luar.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang telah menandatangani “the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court” bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 17 Julai 1998.

“Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa jenayah-jenayah serius seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa di mana pelaku yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.

“ICC berpegang kepada prinsip ‘complementarity’ (saling melengkapi) di mana Artikel 17 Statut Rome memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa. Dalam erti kata lain, ianya merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort),” tambah Kementerian Luar.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome. Jumlah tersebut merangkumi negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Jepun, Belanda, Norway dan United Kingdom.

Related Articles

Leave a Reply