Home Pertahanan dan Keselamatan Henti manipulasi gambar, jangan guna ATM untuk penuhi kepentingan peribadi

Henti manipulasi gambar, jangan guna ATM untuk penuhi kepentingan peribadi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menafikan kesahihan gambar sekumpulan anggota tentera memegang kain rentang dengan perkataan “Jangan Hina Nabi Kami” yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, ATM turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu yang memanipulasikan gambar dengan niat untuk mengheret tentera dalam isu semasa negara.

“Gambar tersebut adalah tidak benar sama sekali berlaku di kalangan warga tentera. Tindakan berkaitan dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengheret ATM dalam isu semasa negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Kenyataan ini ekoran penyebaran sekeping gambar yang memaparkan sekumpulan anggota tentera yang berhimpun dan memegang kain rentang yang bertulis “Jangan hina nabi kami”. Gambar tersebut telah tular di media sosial, semalam.

Dalam kenyataan yang sama, ATM turut memberitahu akan menjalankan siasatan terhadap penularan gambar tersebut.

“Kami akan menjalankan siasatan terhadap penularan gambar tersebut dan mengambil tindakan lanjut bagi membersihkan nama baik ATM serta memperbetulkan persepsi umum,” jelas Markas ATM.

ATM turut menasihatkan pihak tertentu untuk tidak menjadikan pasukan tentera sebagai bahan propaganda negatif bagi memenuhi kepentingan peribadi mahupun kumpulan tertentu.

“Kami menggesa semua pihak tidak lagi menyebarkan gambar tersebut bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat umum,” tegasnya.

Sementara itu, menurut sumber dari ATM, gambar tersebut dipercayai diambil dari portal rasmi media sosial Tentera Darat.

“Gambar tersebut telah diambil dari dari portal media sosial pasukan tentera. Mereka manipulasikan gambar Perasmian Eksesais Satria peringkat Pemerintahan Medan Timur di Sarawak.” kata sumber yang enggan di kenali.

Tentera Darat telah melancarkan Eks Satria Perkasa yang dijalankan secara serentak diseluruh negara semenjak 1 Mac lalu. Latihan tersebut dilancarkan semasa Sambutan Hari Tentera Darat Ke-86.

Gambar asal di media sosial sebelum di manipulasi dengan meletakkan kain rentang yang bertulis “Jangan hina nabi kami”

Related Articles

Leave a Reply