SETIU, 7 Feb – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, maut selepas terkena bom ikan ketika memukat ikan bersama tiga ahli keluarganya di Sungai Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Setiu, petang semalam.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa adalah seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM yang bertugas di Lumut, Perak.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata sebelum kejadian, pada 1 tengah hari mangsa mengajak abang, adik lelaki dan adik iparnya pergi ke sungai itu untuk memukat ikan.
“Ketika itu, seorang ahli keluarga mangsa nampak mangsa memegang satu plastik hitam, namun mangsa hanya mendiamkan diri ketika ditanya isi kandungan plastik dibawanya.
“Mereka kemudian terus menaiki sampan mengikut arus sungai kira-kira 15 minit sebelum mangsa memberitahu supaya meninggalkannya di tebing sungai.
“Dalam masa sama, mangsa dikatakan menyuruh ahli keluarganya lain menunggu dan memasang pukat di hilir sungai,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, kira-kira 10 minit kemudian, ketiga-tiga ahli keluarga mangsa dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.
“Panik dengan bunyi letupan itu mereka menjerit nama mangsa, namun tiada jawapan menyebabkan mereka bergegas menuju ke lokasi mangsa ditinggalkan di tebing sungai.
“Mereka kemudian terkejut menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian perut, muka serta kedua-dua belah tangan,” katanya.
Zulkifli berkata, ahli keluarganya kemudian segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Tong dan Nur Kamarul Adnan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.