Home Semasa Projek ECRL: Kerajaan tanggung hutang lebih besar berbanding bayar pampasan – Tun M

Projek ECRL: Kerajaan tanggung hutang lebih besar berbanding bayar pampasan – Tun M

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 29 Jan – Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan menambah hutang negara sekiranya diteruskan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan bukan tidak mahu anugerahkan kontrak tetapi tak mampu bayar sebab kos projek mungkin melebihi RM100 bilion. Ini akan merosakkan kita.

“Kita memahami semua parti terlibat, kita bukan mahu membatalkan kontrak tetapi kita berdepan kekangan kewangan,” katanya.

Tambah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor projek ECRL akan lebih besar berbanding hutang negara dalam sekiranya projek itu diteruskan.

Tun Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan akan memberikan penjelasan terperinci berhubung projek ECRL.

Beliau turut mengakui bahawa sebagai kerajaan baharu, terdapat menteri-menteri yang mengeluarkan kenyataan berbeza dalam perkara tersebut.

“Kita akan baiki kesilapan tersebut,” katanya.

Semalam, Dr. Mahathir meminta semua pihak menunggu kenyataan daripada Menteri Kewangan,Lim Guan Eng berhubung  status projek ECRL sama ada ia diteruskan atau sebaliknya.

Status projek ECRL sebelum ini dipersoal susulan terdapat percanggahan kenyataan antara Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

 

 

Related Articles

Leave a Reply