Home Semasa Pengusaha stesen minyak salahkan Najib atas kerugian

Pengusaha stesen minyak salahkan Najib atas kerugian

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 7 Dis – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menyebabkan ribuan pengusaha stesen minyak tutup kedai.

PDAM berkata, di bawah kerajan Barisan Nasional (BN), kadar komisen tidak berubah sepanjang dekad lepas serta memberi kesan ke atas pendapatan pengusaha dan memaksa ramai daripada mereka menutup perniagaan lapor portal Free Malaysia Today.

“Ramai pengusaha terpaksa menutup perniagaan, ramai pekerja hilang sumber pendapatan dan lebih banyak keluarga menjadi mangsa kerajaan Najib yang tidak pernah mengambil langkah perlu bagi membetulkan keadaan,” kata PDAM.

PDAM juga mempersoal dakwaan Najib bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini membantu pengusaha meraih keuntungan daripada harga baru minyak.

“Ia memberi gambaran seolah-olah pengusaha stesen minyak mendapat RM30 juta setiap bulan.

“Bagaimanapun jika anda bahagikan angka itu dengan 3,500 stesen minyak yang terdapat di seluruh negara, maka pertambahan purata keuntungan kasar ialah sebanyak RM8,500 sebulan bagi setiap stesen.

“Dalam pada itu, pertambahan kos yang ditanggung pengusaha sepanjang 10 tahun lepas melebihi RM10,000 sebulan,” katanya.

Persatuan itu berkata, hanya 10% daripada pengusaha termasuk dalam kategori jualan tinggi melebihi 600,000 liter sebulan, 67% tergolong dalam kategori jualan rendah ke sederhana di bawah 400,000 liter, sementara baki 20% lagi menjual kurang daripada 200,000 liter setiap bulan.

“Mereka yang menjual kurang 200,000 liter memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.

Ia berkata, kerajaan sebelum ini sedar tentang kesan pengenalan sistem apungan mingguan petrol RON95 ke atas 32,000 peniaga minyak di seluruh negara.

Keadaan itu diperburukkan lagi oleh peningkatan kos pekerja, caj kad kredit dan bayaran sewa kepada syarikat minyak.

PDAM berkata, berdasarkan statistik BN sendiri, ramai pengusaha layak menerima bantuan tunai di bawah BR1M kerana berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Pada masa sama PDAM memuji kerajaan PH kerana menambah komisen mereka sebanyak 3 sen setiap liter.

Semalam kerajaan memperkenalkan semula sistem harga apungan mingguan menyebabkan harga petrol RON95 turun dari RM2.20 ke RM1.93 seliter.

Najib bagaimanapun berkata, harga runcit RON95 sepatutnya berada pada paras RM1.90, bukan RM1.93 setiap liter.

Related Articles

Leave a Reply