SUBANG, 11 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerbangkan seorang bayi berusia 28 hari yang menghidap penyakit Kekurangan Ketahanan Primer (Primary immunodeficiency diseases – PID) dari Sibu ke Pangkalan Udara TUDM Subang pada hari ini .
Calvin Shayne anak Stallone telah dibawa dari Hospital Sibu ke Hospital Serdang bagi menjalani rawatan penyakit Severe Combined Immunodeficiency (SCID), yang merupakan salah satu cabang penyakit Kekurangan Ketahanan Primer.
Penerbangan ihsan yang memakan masa hampir 3 jam itu melibatkan sebuah pesawat CN235 dari No 1 Skuadron. Pesawat dikendalikan oleh Kapten Mohd Nurul Azmie bin Rofdi selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhammad Azizi bin Ayob serta 5 orang krew.
Pesakit diterbangkan dari Lapangan Terbang Sibu pada pukul 9.11 pagi dan tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada pukul 12.30 tengah hari. TUDM turut membawa bersama ibubapa pesakit serta petugas perubatan dari Hospital Sibu. Pesakit kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Penerbangan ihsan merupakan salah satu bukti komitmen dan kesungguhan TUDM untuk memenuhi keperluan dan kebajikan masyarakat.