Home Semasa Parti politik setuju umur mengundi 18 tahun

Parti politik setuju umur mengundi 18 tahun

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 31 Okt – Sebanyak 32 parti politik berdaftar di negara ini bersetuju dengan cadangan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata kesemua parti politik tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan 51 parti politik berdaftar yang menghantar wakil mereka dalam mesyuarat dengan SPR mengenai urusan pendaftaran pemilih yang julung kali diadakan hari ini.

“Tiada bantahan (daripada parti politik) terhadap  cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di ibu pejabat suruhanjaya itu, di sini.

Pada 19 Sept lepas, Kabinet  bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan usul tersebut dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat  November ini.

Azhar berkata kesemua parti politik yang hadir turut bersetuju terhadap cadangan pendaftaran automatik, namun mereka meminta SPR mengkaji proses dan kesannya terhadap pengundi.

“Ini kerana, pendaftaran automatik akan ikut alamat kad pengenalan jadi pengundi itu tidak boleh lagi balik Kelantan atau balik Klang untuk mengundi. Itu saya rasa memerlukan pemahaman polisi tetapi dari segi dasarnya cadangan ini mendapat sokongan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply