Berikutan keadaan kesihatan Prem, pertemuan mereka berlangsung di kediaman rasmi pemimpin Thailand itu di Prem di Si Sao Thewes, Bangkok, sejurus sebelum tengah hari ini.

Dua rakan karib itu bertukar-tukar ucap selamat dan mengadakan pertemuan selama kira-kira 30 minit bagi membincangkan pelbagai perkara.

Prem, 98, mula menyandang jawatan Perdana Menteri pada 1980, setahun sebelum Mahathir, 93, menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat pada 1981.

Pesara jeneral tentera Thailand itu menduduki kerusi Perdana Menteri selama lapan tahun sebelum melepaskan jawatan pada 1988, manakala Mahathir terus menyandang jawatan Perdana Menteri hingga 2003 dan menerajui Malaysia dalam melakar pertumbuhan pesat ekonomi.

Walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Prem terus mempunyai pengaruh terhadap hal ehwal Thailand dan pada 1998, beliau dilantik oleh Raja Thailand ketika itu, Raja Bhumibol Adulyadej untuk mengetuai Majlis Privy negara ini, jawatan yang disandangnya hingga kini.

Majlis Privy bertindak sebagai badan penasihat kepada Raja Thailand dan anggotanya menyandang jawatan seumur hidup.

Pada 1979, Prem menerima darjah kebesaran Malaysia, Panglima Mangku Negara (P.M.N), yang membawa gelaran Tan Sri, manakala pada 1986, beliau dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N), yang membawa gelaran Tun.

Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada Mei tahun ini setelah menerajui gabungan Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Perdana menteri yang diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, akan berlepas pulang ke tanah air lewat hari ini. -Bernama