Home Semasa RTC kini dikenali Pusat Komuniti Desa (PKD)

RTC kini dikenali Pusat Komuniti Desa (PKD)

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjenamakan semula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (Mini RTC) sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).

Menterinya, Rina Harun berkata dengan penjenamaan semula itu, peranan sedia ada RTC dan Mini RTC akan dikekalkan dengan penambahan beberapa peranan baharu.

“Antaranya, sebagai lokasi atau hub bagi pelaksanaan program Desa Digital, sebagai pusat aktiviti atau latihan program-program pemerkasaan wanita seperti yang digariskan dalam draf Pelan Tindakan Harapan Pembangunan Luar Bandar dan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran untuk Pos Malaysia bagi penduduk,” katanya.

Rina berkata penjenamaan semula itu selaras dengan keputusan Kerajaan supaya inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ditamatkan dan program berkaitan diserahkan kepada Kementerian selaku peneraju bagi menentukan hala tuju baharu program.

Beliau dipetik berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Negeri Melaka, Adly Zahari.

Rina berkata KPLB menetapkan halatuju baharu RTC iaitu iaitu RTC Melaka, Pahang, Johor, Kedah dan Terengganu yang terletak di kawasan luar bandar kekal di bawah seliaan KPLB dan dijenamakan semula.

Tiga RTC iaitu RTC Negeri Sembilan, RTC Sarawak (Sibuti dan Betong) diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk ditentukan hala tuju mengikut perancangan negeri masing-masing.

Manakala tiga RTC, iaitu RTC Perak, Kelantan dan Pulau Pinang yang terletak di pinggir bandar dan berdekatan dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dikembalikan fungsi dan pengoperasiannya kepada pemilik bangunan.

Beliau berkata KPLB juga sedang melaksanakan rasionalisasi ke atas 196 buah Mini RTC secara berperingkat. Ia bertujuan membolehkan pelaksanaan program Mini RTC yang lebih bersasar dan pengurusan yang lebih efisien serta penggunaan sumber-sumber terutama peruntukan mengurus yang lebih optimum.

Katanya, proses itu perlu dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan tiada pertindihan fungsi antara agensi/ jabatan bagi mengoptimumkan sumber kewangan Kerajaan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply