Home Semasa Kumpulan kedua IMARET berlepas ke Palu

Kumpulan kedua IMARET berlepas ke Palu

by Nurulhuda

SEPANG, 9 Okt – Kumpulan kedua sukarelawan Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) berlepas ke Sulawesi, Indonesia malam tadi bagi memberi sokongan psiko-sosial kepada mangsa bencana serta petugas kesihatan di Palu serta menilai pakar perubatan yang perlu dihantar ke sana.

Kumpulan kedua IMARET yang berlepas ke dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) malam tadi terdiri daripada seorang pakar perubatan kecemasan Dr Azlan Helmy Abd Samat, dua doktor iaitu Dr Shiraaj Zainul Abiddin dan Dr Mohamed Khalis Mohamed Rafi dan seorang pembantu perubatan dalam rawatan psikologi Khairol Ahmad Ramadzan Md Isa.

Keempat-empat mereka berlepas ke Jakarta dengan pesawat AirAsia dan dijangka transit selama empat jam sebelum menaiki penerbangan dari Jakarta ke Palu.

Dr Azlan Helmy selaku ketua pasukan ketika ditemui sebelum berlepas berkata, pasukannya akan menilai kumpulan pakar perubatan yang diperlukan di Palu.

“Pasukan saya akan bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia untuk melawat rumah sakit lapangan dan tempat mangsa-mangsa gempa dan tsunami berlindung,” katanya.

Dr Azlan Helmy berkata, kumpulannya akan berada di sana sehingga 16 Okt dan akan memberikan laporan harian kepada ibu pejabat IMARET di Kuala Lumpur bagi mengatur pakar yang akan di hantar ke Palu selepas ini.

Jika tinjauan pasukan kedua IMARET mendapati banyak pakar tulang diperlukan, maka selepas ini pakar tulang akan dihantar ke sana. Jika pakar psikologi lebih diperlukan maka pakar psikologi akan dihantar, katanya.

Selain mangsa, IMARET juga akan memberi sokongan psiko-sosial kepada petugas kesihatan di Palu, kata Dr Azlan Helmy.

Kumpulan pertama IMARET yang tiba di Palu Rabu lepas merupakan sukarelawan pertama Malaysia yang tiba di kawasan bencana tersebut. Mereka kembali ke tanah air pada hari Ahad lepas.

Pada 28 Sept, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala menggoncang Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.

Gempa berkenaan disusuli tsunami setinggi tiga meter. Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pihaknya menemukan 1,763 mayat setakat ini. Sementara 5,000 orang dilaporkan hilang. — BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply