Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan negeri salur sumbangan RM100,000 kepada PVATM N.Sembilan

Kerajaan negeri salur sumbangan RM100,000 kepada PVATM N.Sembilan

by Air Times News Network

SEREMBAN, 2 Okt – Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM 100,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan untuk menjalankan aktiviti dan pengurusan persatuan berkenaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata sumbangan itu sebagai menzahirkan tanda terima kasih kepada pejuang negara yang mencurahkan darah, keringat dan air mata dalam menjaga keamanan negara.

“Ramai pahlawan dan pejuang negara gugur sebagai bunga bangsa dan tidak kurang juga yang hidup dalam keadaan daif dan terlantar sakit ketika ini selepas berjuang mempertahankan keamanan negara.

“Di Negeri Sembilan sahaja, terdapat 34 pejuang Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat perang, 690 balu kurang upaya akibat pelbagai penyakit dan kesihatan serta 180 anak-anak veteran OKU yang perlu diberi bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Perwakilan PVATM Negeri Sembilan ke-65 di sini, semalam.

Aminuddin berkata veteran ATM juga seharusnya bersatu dan tidak berpecah bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan yang sememangnya diperlukan mereka.

“Tuan-tuan sebagai pemimpin akar umbi dan rakyat, saya difahamkan Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan mempunyai 11,400 anggota dan ada antara mereka merupakan ketua kampung, imam masjid, ketua Rukun Tetangga dan sebagainya.

“Namun, semua veteran perlu bersatu padu dan menyertai PVATM dan tidak lagi berpecah yang akan hanya menyukarkan kerajaan menyalurkan bantuan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply