Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera, PGA bantu PERHILITAN hapus jerat dawai perangkap harimau

Tentera, PGA bantu PERHILITAN hapus jerat dawai perangkap harimau

by Nurulhuda

KUALA NERUS, 25 Sept – Seramai 50 anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan digerakkan sebagai renjer hutan tambahan untuk memusnahkan jerat dawai yang dipasang pemburu haram di beberapa kawasan habitat harimau di taman-taman negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengadakan perbincangan awal dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PGA bagi mendapatkan bantuan anggota untuk melaksanakan tugas tersebut.

“Kawasan hutan tropika kita sangat luas iaitu sekitar 4.8 juta hektar sedangkan kita tak cukup anggota penguatkuasa (renjer hutan). Kita hanya ada 20 renjer daripada PERHILITAN dan 20 sukarelawan dari Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) yang masuk hutan dua kali setahun untuk mencari dan buang jerat dawai ini.

“Kita akan memberi taklimat kepada mereka (renjer tambahan) bagaimana untuk mengesan dan memusnahkan jerat dawai yang menjadi punca kepupusan bukan sahaja harimau malah beberapa spesies hidupan liar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan “International Union For Conversation Of Nature (IUCN) Symposium and Red List Assessment” di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply