Home Semasa Silibus kursus kepakaran ATM perlu dikaji semula

Silibus kursus kepakaran ATM perlu dikaji semula

by Noor Sheila Amin

JITRA, 20 Ogos – Kerajaan digesa menambah baik silibus kursus kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan bekas tentera yang menamatkan perkhidmatan dan tidak berpencen mendapat peluang kedua bekerja di sektor swasta mahupun kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) cawangan Perlis, Leftenan TLDM (B) Baharin Baharom berkata, kursus terbabit perlu dinaik taraf serta mendapat pengiktirafan oleh industri luar seperti pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya, sebelum menamatkan perkhidmatan, anggota ATM ini dilengkapi dengan pelbagai kursus mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Namun mereka tetap sukar mendapat kerja kerana kursus yang diikuti tidak diiktiraf seperti SKM.

“Jadi sudah sampai masanya ATM dan JPK bekerjasama dalam membangunkan kursus standard dalam bidang pekerjaan yang boleh diterima pakai oleh semua industri agar tentera yang tamat perkhidmatan awal 30-an mudah mendapat kerja,” katanya, selepas majlis makan durian meraikan ahli PBTLDM di dusun Guar Manau, Padang Perahu di sini.

Menurutnya, stigma masyarakat terhadap bekas tentera yang hanya layak bertugas dalam bidang keselamatan juga menyebabkan kepakaran yang mereka miliki menjadi sia-sia.

“Tapi ramai yang tak tahu semua anggota ATM dilatih dalam bidang perkeranian dan kewangan, kejuruteraan elektrik dan jentera, kulinari, muzik dan pelbagai lagi bidang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli persatuan berkenaan, Mala Bahari,59, berkata selepas menamatkan perkhidmatan pada 1991 tanpa pencen, dia hanya bekerja sendiri dengan mengerjakan sawah dan menjadi tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Saya hanya berkhidmat selama 13 tahun namun dalam perkhidmatan saya dilatih dalam bidang kejuruteraan menyelamat dan pertolongan cemas.

“Tapi selepas tamat perkhidmatan susah sangat nak dapat kerja lain, jadi terpaksa lah saya buat kerja sendiri untuk menampung keluarga.

“Saya harap kerajaan akan lebih peka mengenai nasib kami yang tidak berpencen supaya kami juga dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik.

“Kursus yang kami ikuti semasa berkhidmat perlu diiktiraf ataupun kerajaan mungkin dapat bekerjasama dengan syarikat swasta untuk terus menawarkan kerja kepada anggota ATM yang tamat perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, seramai 20 ahli PBTLDM termasuk penduduk miskin di Kampung Imam, Padang Perahu di sini menerima sumbangan berupa makanan asas daripada persatuan terbabit.

Related Articles

Leave a Reply